JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor membongkar kegiatan pemprosesan air ketum di sebuah kilang di Taman Kempas Utama di sini baru-baru ini dengan nilai rampasan RM76,7963.
Pihak JKDM Johor turut menyerbu sebuah rumah di Kampung Kempas Denai dengan jarak kira-kira dua kilometer dari kilang tersebut yang dijadikan tempat mengedar dan menjual air ketum yang siap diproses.
Air ketum tersebut yang diisikan dalam botol kapasiti 1.5 liter kemudian dijual pada harga RM16 sebotol kepada pelanggan tetap sekitar Daerah ini.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, operasi pertama di rumah itu dilakukan pukul 9 malam pada 27 Februari lalu dan tiga suspek termasuk dua wanita warga Indonesia berusia antara 28 hingga 35 tahun ditahan.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki yang masih bujang merupakan pengurus sindiket manakala wanita warga asing itu pula adalah pekerja dan penjual air ketum yang siap diproses.
“Serbuan di rumah itu yang disewa, kita menyita 103 kilogram daun ketum dan 189.50 liter dengan nilai keseluruhan berjumlah RM9,805,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di ruang legar stor Bahagian Penguatkuasaan Menara Kastam Johor, Larkin di sini hari ini.
Susulan itu pihaknya melakukan serbuan kedua di kilang berkenaan pukul 9.30 malam hari yang sama kerana disyaki menjadi lokasi memproses ketum sejak kira-kira dua tahun lalu.
Aminul Izmeer berkata, hasil serbuan di kilang itu pihaknya merampas 442.9 kilogram daun ketum dan 1,642.5 liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM66,991.
Pihaknya turut merampas 200 tong gas, 150 periuk besar dan 50 tungku gas sementara nilai keseluruhan rampasan termasuk air dan daun ketum yang siap diproses bernilai RM76,796.
Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati bekalan daun ketum itu diperoleh dari Kedah.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















