KUALA LUMPUR – Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada 70 kontraktor yang layak untuk melaksanakan projek pembinaan bilik darjah tambahan Industrialised Building System (IBS) di 50 buah sekolah.
Pejabat Menteri Pendidikan berkata, 47 kontraktor turut menerima SST bagi projek pembinaan 47 dewan serba guna terbuka berbumbung.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia berkerjasama erat dengan KKR memastikan pembinaan projek pendidikan di seluruh negara berjalan lancar demi manfaat murid, guru dan seluruh masyarakat.
“Tumpuan Kerajaan Madani adalah untuk memastikan prasarana pendidikan yang kondusif di semua sekolah seluruh negara,” katanya.
Penyerahan itu dibuat oleh Fadhlina dalam Majlis Penyerahan SST Perdana Projek Langkah Segera RMK13 RP1 Cawangan Kerja Pendidikan Tahun 2026 di Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini, turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan
Pembinaan bilik darjah tambahan IBS dapat menangani isu sekolah padat, manakala dewan serba guna terbuka berbumbung pula dapat memberi keselesaan kepada warga sekolah untuk melaksanakan aktiviti.
“Akses berkualiti dapat meningkatkan pengajaran dan pembelajaran, sekali gus memacu kecemerlangan pendidikan,” tambah Fadhlina. – MalaysiaGazette
















