Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra sempena Lawatan Akademik Lenggong Geopark, serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lenggong Geopark di Resort Tasik Raban, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 02 APRIL 2026.

LENGGONG – Lenggong bakal mencatat sejarah apabila diumumkan secara rasmi sebagai UNESCO Global Geopark ketiga di Malaysia pada 23 Mei ini di Paris, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam rangkaian geopark bertaraf dunia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengiktirafan itu dibuat selepas pembentangan komprehensif pada Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Catolica de Temuco, Araucania, Chile pada 7 Sept tahun lepas.

Beliau berkata pengiktirafan itu melayakkan Lenggong menyertai rangkaian UNESCO Global Geopark di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), selepas diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Dis 2021.

“Majlis penyerahan pentauliahan rasmi dijadual berlangsung pada 27 April ini di ibu pejabat UNESCO di Paris, sekali gus memuktamadkan status Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark.

“Pengiktirafan ini juga mencerminkan keunikan dan nilai luar biasa Lenggong dari segi geologi, arkeologi serta warisan semula jadi yang memenuhi piawaian ketat UNESCO,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Bangunan Makmal Pembelajaran Terbuka UTM-Lenggong Geopark pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra sempena Lawatan Akademik Lenggong Geopark, serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lenggong Geopark di Resort Tasik Raban, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 01 APRIL 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Sempena Lawatan Akademik Lenggong Geopark “Lenggong Tapak Pendidikan Terbuka”, dan Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Lenggong Geopark, di sini malam tadi.

Turut hadir dan merasmikan majlis ialah Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong merangkap Pengerusi Lenggong Geopark berkata pengiktirafan itu juga bukan sahaja mengangkat warisan geologi dan arkeologi Lenggong, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat melalui sektor pelancongan lestari.

“Tarikan utama ialah tapak Bukit Bunuh yang menempatkan bukti impak meteorit berusia kira-kira 1.8 juta tahun, menjadikannya antara lokasi penting dalam kajian evolusi awal manusia dan sejarah bumi.

“Kita perlu berbangga kerana ia bukan sahaja meningkatkan profil Lenggong dan negeri Perak di persada antarabangsa, malah berpotensi merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan serta ekonomi setempat,” katanya.

Beliau yakin Lenggong akan muncul sebagai destinasi pelancongan utama bertaraf global, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada rakyat dan negara. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast