Kor Ming menyerahkan kunci rumah kepada pembeli pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil di Pangsapuri PR1MA @ Klebang 2, Melaka hari ini.

MELAKA – Kesemua 34 projek sakit Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) melibatkan 22,925 unit rumah di seluruh negara siap sepenuhnya sekali gus menamatkan penantian ribuan pembeli.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan reformasi perumahan di bawah Kerajaan Madani dalam menyelesaikan projek tertangguh.

“Hari ini saya ingin membuat pengisytiharan bahawa semua 34 projek sakit PR1MA telah siap 100 peratus, lengkap dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta penyerahan kunci kepada pembeli.

“Ini satu hari bersejarah untuk PR1MA,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 di Pangsapuri PR1MA @ Klebang 2 di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan sebelum ini mewarisi  34 projek sakit melibatkan 22,925 unit rumah, namun hasil kerjasama pengurusan baharu PR1MA, KPKT dan kerajaan negeri, kesemuanya berjaya disiapkan sepenuhnya.

“Ini adalah hasil usaha bersepadu semua pihak termasuk kerajaan negeri. Kita bersyukur akhirnya impian pembeli menjadi kenyataan dan projek-projek ini dapat diserahkan.

“Pada masa sama, KPKT kini memberi fokus kepada reformasi menyeluruh sektor perumahan bagi memastikan tiada lagi projek sakit atau terbengkalai menjelang 2030,” tambahnya.

Antara langkah dilaksanakan termasuklah memperkenalkan sistem digital seperti Housing Integrated Management System (HIMS).

Turut sama katanya, Transforming and Empowering Data Usage in Housing (TEDUH) dan audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA), serta sistem e-strata bagi memantau projek secara lebih telus dan berkesan.

“Kesemua reformasi yang telah pun lakukan dan sedang rancak dilaksanakan sebab itu saya yakin menjelang 2030, Malaysia tidak akan ada lagi projek perumahan yang sakit dan terbengkalai,” katanya.

Selain itu, tambahnya kementerian turut mengetatkan kawalan terhadap aliran kewangan pemaju bagi mengelakkan penyalahgunaan dana projek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast