KUALA LUMPUR – Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali menyeru orang ramai berhimpun beramai-ramai menentang kenaikan harga minyak di depan Pasar Raya Sogo Ahad ini.
“5 April bukan sekadar satu himpunan. Ini adalah garis pemisah antara rakyat yang masih ada harga diri, dengan mereka yang sudah reda hidup sebagai hamba tanpa suara.
“Jangan tunggu orang lain. Jangan tunggu keadaan jadi lebih teruk. Kerana setiap saat kamu menunggu, mereka sedang merancang tekanan seterusnya untuk kamu dan keluarga kamu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Ibrahim atau dikenali Tok Him, orang ramai perlu membawa mesej dalam himpunan itu.
“Jika kamu tidak hadir, mesej yang KAMU hantar sangat jelas, buatlah apa sahaja kepada aku, aku akan tetap diam dan bila harga terus naik, bila hidup terus menghimpit, bila anak kamu membesar dalam tekanan yang sama, jangan salahkan sesiapa. Kerana pada saat kamu dipanggil untuk berdiri, kamu sendiri yang memilih untuk duduk.
“Ini bukan soal politik. Ini soal maruah seorang manusia yang tidak sanggup lagi hidup dipijak tanpa had,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya tidak menyeru kepada kekacauan dan mahu masing-masing turun dengan disiplin, aman dan penuh keberanian.
“Pada 5 April, di hadapan Sogo, kamu tidak turun sebagai penyokong mana-mana pihak. Kamu turun sebagai rakyat yang sudah sedar bahawa diam adalah pengkhianatan terhadap diri sendiri dan masa depan anak cucu,” katanya.
Menurut beliau, di Sarawak dan Sabah harga jauh minyak jauh lebih rendah manakala Vietnam dan Thailand tidak ada minyak tapi harga lebih murah dari Malaysia.- MalaysiaGazette















