Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Saranan bekerja dari rumah (BDR) sebenarnya bukan perkara baharu di negara ini.

Semasa serangan Covid-19, BDR sudah dilaksanakan kerana krisis kesihatan global dan kali ini krisis ekonomi akibat peperangan di Asia Barat.

Justeru pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bermula 15 April ini dilihat mudah diterima termasuk dalam kalangan penjawat awam.

Ia dilihat sebagai strategi kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup dan krisis tenaga yang semakin dirasai rakyat.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar ibu negara mendapati rata-rata penjawat awam menyambut baik pendekatan itu kerana ia berpotensi mengurangkan perbelanjaan harian khususnya kos bahan api selain memberi fleksibiliti dalam pengurusan masa kerja.

Bagi C. Vishveshvar, 27, langkah yang dilaksanakan kerajaan adalah sebagai pendekatan baik dan efisien dalam mengurus kewangan negara, selain membolehkan penjimatan subsidi disalurkan kepada keperluan lain serta membantu rakyat.

Beliau berkata, majoriti rakyat kini mempunyai akses kepada internet dan peranti sekali gus memudahkan pelaksanaan kerja dari rumah yang lebih fleksibel dan menjimatkan masa.

Vishveshvar Chandra Sekaran. Foto SADIQ SANI, 03 APRIL 2026.

Bagaimanapun, dia berpendapat, pelaksanaan dasar berkenaan wajar dilakukan secara sementara kerana negara masih belum bersedia untuk jangka masa panjang.

“Buat masa ini, pelaksanaan secara sementara saya rasa sudah memadai kerana untuk jangka panjang, kita masih belum bersedia.

“Bagi pekerjaan seperti saya, kerja dari rumah boleh dilakukan secara fleksibel namun ada juga sektor seperti keselamatan dan kesihatan yang memerlukan petugas berada di lapangan.

“Jadi, bagi yang perlu bekerja di luar, mereka tetap perlu hadir ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sementara itu, menurut Nurain Syahira Ababil, 30, turut bersetuju dengan pendekatan tersebut kerana ia relevan dalam membantu menjimatkan kos serta memberi fleksibiliti kepada pekerja.

Katanya, bagi mereka yang bekerja di kawasan pusat bandar, BDR sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan harian berbanding bekerja di pejabat meskipun kedua-dua kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Nurain Syahira Ababil

“Kalau di pejabat, suasana kerja lebih fokus dan teratur, manakala di rumah lebih fleksibel dari segi masa. Cuma cabarannya adalah gangguan, terutama bagi yang mempunyai anak-anak selain interaksi dengan rakan sekerja yang agak terhad.

“Secara keseluruhan saya setuju dengan langkah ini tetapi lebih sesuai jika dilaksanakan secara hibrid, contohnya berselang setiap minggu kerana ada tugasan yang memerlukan kehadiran di pejabat,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Rashidi Mohamad, 50, yang menyifatkan BDR mampu mengurangkan kesesakan jalan raya serta perbelanjaan harian kerana tidak perlu berulang-alik dan makan di luar.

Rashidi Mohamad. Foto SADIQ SANI, 03 APRIL 2026.

Namun, beliau mengakui terdapat sedikit gangguan terhadap fokus ketika bekerja di rumah.

“Untuk masa sekarang saya setuju kerana dapat jimat kos bahan api tetapi bagi jangka panjang mungkin kurang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Azril Ali, 39, pula menegaskan BDR perlu difahami sebagai bekerja dari rumah bukan berehat.

Penjawat awam, Azril Ali.

Menurutnya, pelaksanaan itu memberi kelebihan seperti penjimatan masa, kos dan mengurangkan tekanan akibat kesesakan namun memerlukan disiplin tinggi serta boleh menjejaskan kerja berpasukan.

Ixora Johan, 30, pula berpandangan, pelaksanaan BDR adalah wajar dalam situasi semasa khususnya bagi sektor pentadbiran yang boleh beroperasi dari rumah manakala perkhidmatan barisan hadapan perlu diteruskan seperti biasa.

Ixora Johan. Foto SADIQ SANI, 03 APRIL 2026.

Katanya, cabaran utama adalah komunikasi yang terhad secara fizikal namun ia masih boleh diatasi melalui dalam talian.

Media sebelum ini melaporkan penjawat awam yang berkhidmat di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri, dan mempunyai jarak perjalanan melebihi 8 kilometer sehala dari rumah ke pejabat, dibenarkan bekerja dari rumah secara berperingkat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dalam satu pekeliling memaklumkan, mereka yang memenuhi syarat berkenaan dibenarkan melaksanakan BDR sehingga tiga hari seminggu bermula 15 April ini.

Pelaksanaan itu merupakan langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast