KUALA LUMPUR – Penumpang menaiki kenderaan dipandu individu di bawah pengaruh alkohol atau dadah tidak lagi boleh dianggap sekadar ‘mangsa keadaan’ sebaliknya wajar dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang.
Peguam, Sivahnanthan Ragava berkata, pendekatan lebih tegas perlu dipertimbangkan termasuk mengenakan hukuman terhadap penumpang yang mengetahui atau secara munasabah boleh mengetahui pemandu berada dalam keadaan mabuk atau khayal.
Menurutnya, budaya minum secara berkumpulan sering menjadi punca kepada keputusan berisiko apabila tiada siapa tampil menghalang pemandu daripada memandu.
“Dalam banyak kes, ia berlaku dalam kumpulan. Semua tahu keadaan pemandu, tetapi tetap benarkan atau ikut sahaja. Jika mereka sedar atau sepatutnya sedar pemandu itu mabuk, namun masih memilih untuk menaiki kenderaan, mereka tidak boleh lepas tangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau menegaskan, penumpang mempunyai nilai moral dan wajar dipertanggungjawabkan secara undang-undang sekiranya gagal mengambil langkah munasabah termasuk membantah, menghalang atau mencari alternatif lain.
Katanya, kegagalan bertindak dalam situasi tersebut perlu dilihat sebagai kecuaian bersama yang akhirnya boleh membawa kepada tragedi.
“Undang-undang tidak boleh lagi melihat isu ini sebagai tanggungjawab individu semata-mata. Ia perlu berkembang kepada tanggungjawab kolektif,” katanya.
Dalam pada itu, Sivahnanthan turut mencadangkan supaya kegagalan mana-mana individu melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai pemandu mabuk dijadikan satu kesalahan khusus.
Menurutnya, langkah itu boleh menjadi mekanisme pencegahan awal selain meningkatkan kebertanggungjawaban awam dalam menangani isu pemanduan berbahaya.
“Kita tidak boleh terus normalisasikan sikap ‘biarkan sahaja’. Jika tahu ada individu memandu dalam keadaan mabuk tetapi memilih untuk berdiam diri, itu juga satu bentuk kecuaian,” katanya.
Baru-baru ini, satu kes tular melibatkan seorang lelaki berusia yang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga merempuh sebuah kenderaan e-hailing di Klang, mengorbankan seorang pemandu Grab bersama tiga anaknya, mencetuskan kemarahan orang ramai.
Malah terdapat cadangan supaya pemandu dalam keadaan mabuk atau khayal yang menyebabkan kematian didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman lebih berat.
Perdebatan itu turut membuka ruang kepada keperluan menilai semula keberkesanan undang-undang sedia ada dalam menangani isu pemanduan di bawah pengaruh bahan terlarang.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyuarakan keperluan pindaan undang-undang bagi memperketat hukuman terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian.
Beliau menegaskan, hukuman lebih berat dan bersifat menggerunkan perlu dipertimbangkan bagi memberi kesan pencegahan yang lebih efektif, selari dengan peningkatan kes kemalangan maut yang mencetuskan kemarahan awam ketika ini.
Mengulas lanjut, Sivahnanthan berkata, tanpa perubahan tegas dari sudut undang-undang dan sikap masyarakat, insiden sama akan terus berulang.
“Setiap kali tragedi berlaku, kita lihat simpati dan kemarahan. Tetapi jika tiada perubahan, ia akan jadi kitaran yang sama. Nyawa yang hilang bukan sekadar angka. Ia kehilangan yang tidak boleh diganti,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan menyeluruh melibatkan penguatkuasaan, pindaan undang-undang serta perubahan sikap masyarakat amat diperlukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya benar-benar terjamin.
Isu pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah dijangka terus menjadi tumpuan dengan desakan pelbagai pihak agar tindakan lebih tegas dan berkesan dilaksanakan tanpa kompromi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemandu Mabuk Berdepan Pertuduhan Bunuh, Penggunaan Dadah! Sebutan Kes 3 Jun















