ALOR GAJAH – Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang cuai ketika keluar simpang di simpang tiga berhampiran sebuah pasar raya di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.48 malam itu, mangsa, Tai Ee Seng, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangnya merempuh sebuah Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, mangsa sebelum itu dalam perjalanan dari arah Bandar Jelatang menghala ke Dataran Keris.

“Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu dipercayai keluar simpang ke kanan untuk memasuki jalan utama secara cuai sebelum dilanggar motosikal mangsa yang tidak sempat mengelak.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala pemandu kereta dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ahmad berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan adalah kering dengan pencahayaan lampu jalan, selain terdapat kesan brek motosikal sepanjang kira-kira 15 hingga 20 meter dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang turut membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu kereta juga didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















