Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Dr Norhazni Mat Sari tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan berhubung siasatan kes berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste) ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Dr Norhazni Mat Sari, 59, yang memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berkenaan tanpa sebarang balasan daripada E-Concern (Borneo) Sdn Bhd, sedangkan mengetahui pengarah syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Wang itu dipercayai dipindahkan secara dalam talian ke akaun bank milik anak tertuduh di sebuah bank di Bukit Bintang pada 18 April 2022.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Dr Norhazni Mat Sari tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan berhubung siasatan kes berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste) ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 APRIL 2026.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju jaminan ditetapkan sebanyak RM25,000 serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela Haresh Mahadevan memohon agar pasport diserahkan selepas anak guamnya pulang daripada menghadiri mesyuarat di Geneva, Switzerland dari 16 hingga 26 Jun ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000, namun menolak permohonan tersebut dan mengarahkan pasport diserahkan segera.

Dalam pada itu, Haresh menegaskan anak guamnya tidak pernah didakwa atau disiasat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan e-waste, seperti yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

Menurutnya, pertuduhan yang dikenakan hari ini adalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang dakwaan kemasukan e-waste secara haram ke negara ini.

“Tiada sebarang siasatan atau soal siasat dijalankan terhadap anak guam saya berkaitan isu e-waste kerana memang tiada asas untuk berbuat demikian.

“Sebarang kenyataan yang mengaitkan beliau dengan penyeludupan e-waste adalah tidak berasas sama sekali,” katanya hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada mana-mana pihak didakwa berhubung kemasukan e-waste secara haram dalam jumlah besar ke Malaysia.

Norhazni, katanya, akan mempertahankan diri di mahkamah dan berharap siasatan dapat memberi tumpuan kepada pihak yang benar-benar bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

Mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk pengurusan kes. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KP JAS mengaku tidak bersalah terima suapan RM100,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast