Ahli Perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Lebih 200 individu termasuk aktivis dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan Bangunan Kementerian Komunikasi di sini bagi menyuarakan bantahan terhadap sekatan kebebasan bersuara serta dakwaan kekangan akses media sosial dalam kalangan rakyat.

Perhimpunan dikenali sebagai Himpunan Rakyat Bebas Bersuara itu disertai kumpulan Demi Negara dan Himpunan Bangsa Johor, selain menampilkan aktivis dan ahli perniagaan Albert Tei bersama aktivis Rafidah Ibrahim sebagai antara suara utama.

Albert Tei dalam ucapannya menegaskan, rakyat tidak seharusnya dilayan seperti penjenayah hanya kerana mengkritik atau mengulas kelemahan pihak berkuasa.

“Jangan sekat suara kami. Jangan sekat kebebasan media. Kami bukan penjenayah. Kamu sekat sindiket judi, sindiket seks, itu memang patut. Tapi kami hanya mengulas berhubung kegagalan mereka,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa himpunan serupa akan diadakan semula sekiranya sekatan terhadap suara rakyat terus berlaku.

Sementara itu, Rafidah meluahkan kekecewaan terhadap tindakan yang didakwa menyekat akaun media sosial miliknya, sekaligus menjejaskan penyampaian maklumat kepada orang ramai.

“Facebook saya dihilangkan, akaun TikTok saya pula hanya boleh ditonton di luar negara. Video-video saya di Malaysia tidak boleh ditonton.

“Sedangkan kami rakyat menggunakan media sosial untuk menyampaikan perkara sebenar,” ujarnya.

Sebahagian peserta membawa sepanduk hadir pada Perhimpunan Rakyat Bebas Bersuara di hadapan perkarangan Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026.

Rafidah turut mengingatkan bahawa pihak kerajaan sebelum ini pernah menyuarakan keperluan meminda Akta Hasutan dan Seksyen 233 ketika menjadi pembangkang, namun kini didakwa mengambil tindakan yang bercanggah dengan prinsip tersebut.

“Kalau kami cakap lebih-lebih, dikenakan Akta Hasutan. Kalau kami cakap lebih-lebih, dikenakan Seksyen 233. Hari ini suara rakyat disekat,” katanya.

Kedua-dua aktivis itu menegaskan bahawa, himpunan berkenaan merupakan mesej jelas bahawa rakyat Malaysia berhak bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut memberi amaran bahawa sekatan berterusan boleh mencetuskan himpunan yang lebih besar pada masa hadapan, khususnya menjelang pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast