Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR — Seorang pemimpin cabang PKR Pahang menggesa bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya berhenti menuding jari kepada pihak lain dan sebaliknya melakukan muhasabah diri berhubung pelbagai isu yang dibangkitkan terhadapnya.

Pengerusi Biro NGO MPN Pahang merangkap Ketua Cabang PKR Maran, Michael Sia Wei Lung berkata, Rafizi seharusnya melihat kembali rekod pentadbirannya serta memberikan penjelasan yang telus kepada rakyat.

“Sehingga hari ini, beliau masih gagal menjawab persoalan asas, ratusan juta duit kerajaan digunakan dan apakah hasil nyata yang benar-benar dirasai rakyat?

“Retorik yang selama ini dilaungkan ternyata tidak diterjemahkan menjadi impak sebenar dalam kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Michael Sia Wei Lung
Michael Sia Wei Lung

Michael turut membangkitkan isu pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menurutnya menimbulkan polemik apabila rakyat didakwa ditekan untuk mendaftar.

“Sistem PADU yang diperkenalkan dengan memaksa rakyat berdaftar dan menggambarkan seolah-olah akan kehilangan bantuan kerajaan jika tidak mendaftar.

“Pendekatan berasaskan ketakutan ini bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan gaya kepimpinan yang akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan ekonomi negara ketika itu,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh kenyataan Rafizi dalam satu platform podcast semalam yang didakwa tidak menjawab isu pokok, sebaliknya menyalahkan pelbagai pihak.

Disebabkan itu, sentimen akar umbi semakin jelas menunjukkan tiada lagi kepercayaan terhadap Rafizi Ramli,” katanya.

Tegasnya, sudah tiba masanya bekas Menteri Ekonomi itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu yang dibangkitkan dan tidak lagi berlindung di sebalik retorik.

“Sudah tiba masanya Rafizi Ramli berhenti menyalahkan pihak lain dan mula bermuhasabah. Kepimpinan bukan diukur melalui retorik atau platform podcast, tetapi melalui keupayaan memikul tanggungjawab dan membuktikan hasil yang nyata kepada rakyat,” katanya. — MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast