Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka ruang perbincangan rentas parti sebagai langkah yang membuka dimensi baharu dalam politik negara.

Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, langkah tersebut juga dilihat sebagai pendekatan politik yang mengutamakan dialog, bukannya perpecahan.

“Dalam suasana dunia yang mencabar dan tekanan ekonomi yang dirasai rakyat seluruh dunia, pendekatan ini adalah satu langkah matang dan berani meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi sempadan politik kepartian.

“Inilah ruang terbaik untuk kita semua kembali kepada asas perjuangan sebenar, membela rakyat.

“Perbincangan rentas parti bukan soal siapa menang atau kalah, tetapi bagaimana kita bersama-sama mencari penyelesaian dan membantu menangani krisis tenaga global,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, rakyat juga sebenarnya sudah tidak mahu melihat perbalahan tanpa noktah.

“Saya menyeru pihak pembangkang untuk menyambut baik usaha ini dengan jiwa besar.

“Ini bukan masa untuk menolak atau mempolitikkan setiap inisiatif, tetapi masa untuk menunjukkan kematangan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat terutama negara dan dunia sedang berdepan krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik dunia.

“Jika benar kita semua mahu yang terbaik untuk negara, maka inilah peluangnya untuk duduk semeja, berbincang, dan mencari titik persamaan,” katanya lagi.

Tambahnya, rakyat merupakan pemerhati dan akan menilai bukan pada siapa paling lantang, tetapi siapa yang benar-benar berusaha menyelesaikan masalah.

“Politik hari ini harus bergerak ke arah penyelesaian, bukan pertikaian.

“Langkah Perdana Menteri ini adalah satu permulaan yang tepat ke arah itu,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar, Perak berkata, pihaknya membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana pihak termasuk pembangkang untuk tampil berbincang bagi membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian menangani krisis tenaga global.

Beliau berkata, sebarang teguran atau maklum balas berhubung pengurusan ekonomi negara, terutamanya membabitkan isu kenaikan harga minyak dunia seharusnya dilakukan berdasarkan ilmu serta fakta yang tepat, bukannya sekadar kritikan kosong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast