PEKAN – Kebakaran hutan tanah paya gambut boleh menjejaskan ekosistem unik yang melibatkan pelbagai biodiversiti di negara ini untuk jangka masa panjang.
Disebabkan itu, usaha pemulihan dan konservasi segera tanah paya gambut adalah amat penting, lebih-lebih lagi apabila berdepan ancaman kebakaran sewaktu musim panas ketika ini.
Ketua Projek Pemulihan Tanah Gambut Pahang (PPRP), Enggang (Pekan) Sdn Bhd, Dr. Jane Koh berkata, pihaknya kini dalam usaha memantau dan memulihkan tanah gambut di kawasan seluas kira-kira 97,000 hektar di Pekan dan Rompin.
Katanya, disebabkan wujud tali air atau parit di kawasan berhampiran tapak pembalakan sebelum ini, struktur dalaman tanah gambut di kawasan terbabit menjadi kering, tidak boleh menahan air dan akhirnya berpotensi kehilangan bahan organik serta fungsinya sebagai penyimpan karbon.
“Sebab itu, projek pemulihan tanah gambut Pahang ini penting kerana merupakan antara projek karbon yang besar dalam skala dunia dari segi penyerapan dan pencegahan emisi gas rumah hijau.
“Kebakaran yang berlaku di tanah gambut menyebabkan fungsinya merosot. Langkah pencegahan pihak kami lakukan termasuk membuat sekatan parit bagi memastikan kawasan berkenaan kekal lembap,” katanya.

Bukan itu sahaja, Jane berkata, pihaknya juga menubuhkan pasukan khas Fire Emergency Response Team (FERT) dianggotai 24 orang kakitangannya untuk memberi respon tindakan pemadaman kebakaran segera selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mencegah kebakaran merebak di tanah gambut di kedua-dua daerah itu.
Katanya, struktur tanah gambut yang sudah kering lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran pantas merebak dan ia perlu ditangani segera.
Tambahnya lagi, kebakaran di bawah tanah gambut boleh berlaku sedalam tujuh meter dan sukar dikesan menyebabkan ia menjadi merbahaya kepada pihak-pihak yang sedang melakukan pemadaman api di kawasan itu.

“Kami memang ada unit di bawah Enggang yang menjalankan pemantauan dalam kawasan projek dan sekeliling kawasan projek kami.
“Sebab kami nak mencegah keakaran itu daripada merebak ke hutan simpan. Kebakaran di tanah gambut memang sangat senang nak merebak sama ada di atas permukaan mahupun di bawah permukaan tanah.
“Tapi, hutan gambut di kawasan tropika ini adalah hutan tanah yang lembap dan tidak akan terbakar sendiri. Yang terbakar itu adalah disebabkan punca daripada perbuatan manusia,” katanya lagi.
Jane turut memaklumkan, usaha pemulihan hutan gambut selepas kebakaran tahun lalu juga telah dijalankan sejak Disember 2025 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Di kawasan seluas 18 hektar di Pekan, terdapat lebih 20,000 anak pokok hutan paya gambut pelbagai spesis telah ditanam dan dipantau dalam usaha memulihkan fungsi tanah gambut di lokasi terbabit.

“Tempat yang pernah terbakar ni tidak akan pulih sendiri. Intervensi manusia perlu dilakukan untuk memulihkan tanah gambut ini.
“Lebih banyak kawasan yang perlu ditanam semula sebenarnya. Dan Jabatan Perhutanan juga ada merancang untuk meluaskan tanaman semula di tapak kebakaran ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















