KUALA LUMPUR – Program hiburan keluarga Talk To My Manager (TTMM) kembali buat musim kedua selepas kejayaan luar biasa pada musim pertama tahun lalu.
Meneruskan momentum musim pertama yang berjaya menawan hati penonton menerusi gabungan cabaran kompetitif dan persembahan yang memukau, musim kedua kali ini tampil dengan penyertaan lebih ramai selebriti.
Antara barisan nama selebriti terkenal yang muncul sebagai pengurus bersama anak masing-masing adalah usahawan selebriti popular Datuk Seri Vida dan Cik B; selain Adira dan Anggrek; Ani Maiyuni dan Viviana; Datuk A. Aida dan Azeva serta Datuk Fazley dan Fariedz Fazley.
Turut terlibat dalam program selama 10 minggu itu adalah Jamilulhayat dan Hussain; Linda Jasmine dan Ratu; Nana Mahazan dan Althea; Pak Azad dan Amarra serta Safura dan Kim Khairii.
Sementara itu, musim baharu itu turut menyaksikan kembalinya Datuk Aznil Nawawi sebagai pengacara, bersama barisan juri Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, yang terus tampil dengan kepakaran, panduan serta karisma tersendiri dalam memeriahkan program ini.
TTMM2 dengan kerjasama Eskayvie sebagai penaja utama akan mula bersiaran mulai 19 April ini secara langsung di Astro Ria pukul 9 malam.
Musim pertama menyaksikan pasangan anak beranak, Marsya Qistina dan penyanyi Liza Hanim dinobatkan sebagai juara TTMM.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi, dan single baharu selepas menewaskan lima peserta lain di pentas Grand Finale yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam. – MalaysiaGazette

















