Tangkap layar video tular memaparkan pelajar SK Convent Kajang, Dhaneesha menyampaikan penceritaan buku yang dibacanya setebal 377 muka.

GEORGE TOWN – Inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) menganjurkan pertandingan bicara buku menerusi rakaman video dilihat mampu mengasah kemahiran komunikasi serta meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan pelajar.

Setiausaha Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, Fatin Nurshahfika Faizul Shah berkata, pendekatan berunsurkan kreativiti itu memberi ruang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk memahami bahan bacaan dengan lebih mendalam selain melatih mereka menyusun idea secara tersusun.

Menurutnya, perkongsian kandungan berbentuk video turut membuka peluang kepada murid mengetengahkan bakat secara lebih meluas, di samping menarik minat rakan sebaya untuk mendekati budaya membaca.

“Inisiatif KKM ini dilihat sebagai usaha relevan dengan keperluan pembelajaran masa kini.

“Pendekatan seperti ini bukan sahaja membantu pelajar lebih berani bercakap, malah melatih mereka memahami kandungan buku dan menyampaikannya dengan cara tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan video tular yang memaparkan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Convent Kajang, Dhaneesha Francis Xavier bertutur serta menceritakan buku dibacanya setebal 377 muka surat, yang mendapat perhatian di media sosial hari ini.

Dalam rakaman berdurasi 5 minit 55 saat itu, Dhaneesha dilihat fasih berbahasa Inggeris serta yakin dengan intonasi yang jelas menekankan setiap peristiwa dalam cerita, sekali gus menarik perhatian penonton.

Sementara itu, Fatin Nurshahfika turut menggesa ibu bapa agar memberi galakan kepada anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti kreatif seumpama itu bagi membina keyakinan diri dan mencungkil potensi sejak usia muda.

“Perkembangan itu menunjukkan pendekatan kreatif dalam aktiviti pembelajaran mampu memberi impak positif terhadap pembinaan sahsiah dan kemahiran komunikasi pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast