PEKAN – Penganjuran Cabaran Mara Lasak Pahang 3.0 dijangka di Ulu Tembeling, Jerantut tahun hadapan dan membabitkan penyertaan lebih ramai pasukan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal menerima maklumbalas memberangsangkan termasuk daripada masyarakat dari negeri lain bagi acara yang dianjurkan kali ini.
“Cabaran Mara Lasak Pahang 2.0 kali ini berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan 105 pasukan dari seluruh Pahang melibatkan empat kategori utama.
“Kita mungkin akan pertimbang untuk buka penyertaan luar. Sebab banyak permohonan daripada orang luar, jadi akan ada kategori baru untuk orang luar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Felda Chini hari ini.

Empat kategori dipertandingkan meliputi kategori jemputan orang kenamaan (VIP); pasukan beruniform; jabatan dan agensi kerajaan negeri serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri serta belia, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan komuniti setempat.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan meluangkan masa menyantuni penduduk setempat serta pengunjung yang hadir sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berjaya mempertahan kejuaraan bagi kategori badan beruniform pada siri Cabaran Mara Lasak Pahang kali ini dengan catatan masa lebih baik berbanding sebelum ini dan dinobat Juara Keseluruhan bagi acara itu.
Mengulas mengenai acara itu, Fadzli berkata, peserta setiap pasukan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita perlu melalui cabaran berlari melalui laluan hutan, ladang, denai dan jalan berbukit sejauh 15 kilometer (km) dengan membawa muatan seberat lima kilogram.
Setiap pasukan hanya dikira melengkapkan cabaran itu jika kesemua ahli pasukan terbabit sampai ke garisan penamat bersama-sama.
“Yang paling menarik adalah ketua-ketua jabatan atau pengarah-pengarah yang mengambil bahagian. Saya tengok tadi ketua Hakim Syarie Pahang bertanding, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Pengarah Imigresen, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang mengambil bahagian dalam Mara Lasak kali ini yang pastinya cukup mencabar.
“Saya dapat feedback bahawa dia orang kata memang track ini ‘jahat’. 15 km ini ada tiga atau empat bukit yang memang pacak dan cerun yang cukup curam. Lalu pula kawasan berpaya, denai-denai hutan tadi tengok ada kasut yang rosak.
“Tapi rata-rata cakap memang satu pengalaman dalam hidup mereka. Itu keunikan Mara Lasak Pahang ini selain kena mula dan habis acara secara berpasukan,” katanya.
Tambah Fadzli, kerajaan negeri melalui Majlis Rekreasi Pahang (MRP) sentiasa menyokong penuh penganjuran program sebegini untuk bentuk ketahanan jati diri dan sifat tahan lasak di kalangan anak-anak Pahang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















