KUALA LUMPUR – Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali menubuhkan sekretariat berkaitan kos sara hidup rakyat yang akan memfokuskan tekanan yang dihadapi rakyat pada masa kini antaranya kenaikan harga petrol dan barang.
Katanya, sekretariat yang bakal diketuainya itu akan dianggotai oleh pemimpin-pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang berani bertindak dan bersuara demi rakyat.
“Jangan risau apa yang terjadi saya akan bertanggungjawab, saya bukan pemimpin retorik, bukan Hang Tuah atau Hang Jebat, pakai baju pahlawan, ada keris di badan tapi keris tidak pernah dicabut.
“Jadi sekarang kita mesti melakukan tindakan yang betul-betul praktikal, tidak susah kita hanya perlu bersedia berkorban, berhimpun macam mana Anwar buat dulu,” katanya pada Himpunan Bantah Kenaikan Minyak yang diadakan di hadapan Sogo, hari ini.

Ujarnya, rakyat perlu berani menyertai himpunan seperti yang diadakan hari ini untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menaikkan harga petrol.
“Bila berhimpun ramai-ramai barulah Anwar rasa gerun, sekarang dia rasa tidak ada apa-apa sebab itu dia berani naikkan harga minyak, sebab rakyat tidak bertindak,” tambahnya.
Terkini, harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 April hingga 8 April ini.
Harga runcit petrol RON97 bagaimanapun turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.
Dalam masa sama, Ibrahim turut mendesak supaya Anwar meletakkan jawatan sekiranya gagal membantu rakyat dalam situasi perang di antara Iran dengan Ameria Syarikat (AS) dan Israel.
“Saya ingatkan dia ikhlas, serius tolong rakyat. Kalau Anwar rasa perang Teluk ini menyukarkan, letak jawatan. Kalau tidak boleh buat (bantu rakyat) letak jawatan, bagi orang lain,” tambah beliau.
Terdahulu, himpunan yang bermula pada pukul 3 petang hingga 5 petang itu disertai kira-kira 100 peserta.
Turut hadir, aktivis terkenal, Hishamuddin Rais dan ahli perniagaan, Albert Tei dan wakil daripada Pas. – MalaysiaGazette

















