Sebanyak 178 kenderaan diperiksa dan 87 motosikal disita untuk tindakan lanjut dalam Op Khas Bersepadu Motosikal di Jalan Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka awal pagi tadi. Gambar Ihsan - JSPT Melaka

MELAKA – Seramai 16 lelaki termasuk pelajar sekolah ditahan dalam Op Khas Bersepadu Motosikal di Jalan Paya Luboh, Tangga Batu di sini awal pagi tadi.

Operasi bermula 2 hingga 5 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Melaka bersama pasukan risikan/operasi JSPT Bukit Aman serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, ia menyasarkan kegiatan samseng jalanan khususnya dalam kalangan remaja.

“Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 30 tahun termasuk seorang pelajar sekolah Tingkatan Empat ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pelajar terbabit didapai menunggang motosikal secara melulu serta berbahaya di jalan raya dengan melakukan aksi zig zag dan memotong sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Seramai 16 lelaki termasuk pelajar sekolah ditahan dalam Op Khas Bersepadu Motosikal di Jalan Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka awal pagi tadi. Gambar – JSPT Melaka

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan terbabit melakukan pelbagai aksi berbahaya termasuk memecut laju, zig-zag serta mencelah kenderaan lain sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Sepanjang operasi, sebanyak 178 kenderaan telah diperiksa dan 87 motosikal disita untuk tindakan lanjut. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan,” ujarnya.

Muhammad Zaki berkata, sebanyak 237 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dengan kesalahan nombor pendaftaran mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 53 saman, diikuti cermin sisi (31), ekzos (25) dan aksesori (22).

Sementara itu, JPJ Melaka turut mengeluarkan 274 notis P22 selain 21 tindakan di bawah Seksyen 59(2) serta 21 arahan pemeriksaan di bawah Seksyen 61.

“Pihak berkuasa akan terus mempergiat operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan samseng jalanan daripada terus berleluasa.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dengan memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dalam aktiviti tidak sihat ini yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh meragut nyawa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast