MELAKA – Seorang wanita menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya bapanya mati dibunuh dalam kejadian di Pengkalan Batu, di sini hari ini.
Azlina Md Said, 50, berkata, orang ramai diharap dapat menghentikan penyebaran berita palsu itu kerana percaya bapanya, Mat Said Bidin, 79, yang hilang sejak semalam terkena serangan jantung.
“Tolonglah hentikan penularan berita tidak sahih, kaitkan bapa saya dengan kes bunuh kerana tiada sebarang kesan tikaman pun pada tubuhnya yang ditemukan polis pagi tadi.
“Sejak semalam dia hilang dan puas kami mencarinya termasuk membuat hebahan sehinggalah jenazahnya ditemukan pagi tadi di bawah pokok kelapa belukar berhampiran lampu isyarat Pengkalan Batu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, bapanya dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak semalam sebelum usaha mencarinya dilakukan oleh ahli keluarga.
“Semalam dia tak balik, kami cari tapi tak jumpa. Pagi tadi kami jumpa motosikalnya sebelum menemui dia berhampiran kawasan pokok kelapa.
“Kalau kena bunuh, mesti ada kesan tikaman, tapi langsung tak ada,” katanya.
Menurutnya, bapanya dipercayai ke kawasan tersebut untuk mencari hasil kampung seperti kelapa, jering dan mangga, namun mungkin terkena serangan jantung ketika kejadian.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan mencurigakan sehingga mencetuskan spekulasi kononnya berlaku kes bunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette
















