JOHOR BAHRU – Pemandu treler yang menyebabkan kematian tiga beranak di Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat minggu lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Segamat esok.
Ketua Polis Johor Datuk, Ab Rahaman Arsad berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan sudah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini.
“Hasil penelitian pihak pendakwaan, arahan pertuduhan diberikan. Suspek akan dituduh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh antara 30 hingga 40 tahun. Sekiranya tidak dihukum mati, boleh dikenakan 12 kali sebatan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Dalam kejadian tersebut, sebuah treler dipandu suspek iaitu seorang lelaki berusia 28 melanggar belakang sebuah van dinaiki lima mangsa.
Akibat pelanggaran tersebut, van berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori.
Dalam kejadian tersebut, pasangan K Myakrishnan, 71, dan S Sevendai, 65, serta pemandu van, S Palamiandy, 77, maut.
Dua cucu pasangan berkenaan, P Hariharam, 22, dan P Sugunya, 18, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Segamat. – MalaysiaGazette
















