Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada program ‘Voice of Her Forum - Wanita dan Kuasa Ekonomi, Survival, Kepimpinan dan Pemilik Aset’ di Auditorium UMNO, World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 APRIL 2026

​KUALA LUMPUR – Pemerkasaan wanita di Malaysia perlu beralih daripada sekadar penyertaan dalam tenaga kerja kepada pemilikan aset dan kuasa untuk mencorakkan sistem ekonomi negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan dalam penyertaan wanita, kesaksamaan sebenar tidak akan lengkap jika wanita tidak mempunyai pengaruh dalam membuat keputusan.

“Pemerkasaan sebenar terletak pada pemilikan sama ada pemilikan aset, peluang dan juga pengaruh.

“Jika wanita hadir dalam sistem tetapi tidak memiliki kuasa untuk membentuk keputusan, maka kesaksamaan itu kekal tidak lengkap,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Voices of HER yang pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada forum berkenaan ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, pemain-pemain industri, penggubal dasar serta wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menyentuh isu dunia yang dilihat menghambat negara terutamanya ekonomi.

“Ketidaktentuan global, khususnya konflik di Asia Barat memberi impak langsung kepada ekonomi Malaysia.

“Gangguan di Selat Hormuz telah menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak, sekali gus meningkatkan beban subsidi bahan api negara secara mendadak,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada program ‘Voice of Her Forum – Wanita dan Kuasa Ekonomi, Survival, Kepimpinan dan Pemilik Aset’ di Auditorium UMNO, World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 APRIL 2026

Jelasnya lagi, dengan harga minyak mentah Brent yang mencecah AS$119 setong, ia merupakan realiti pahit buat Malaysia.

“Subsidi bahan api kita melonjak daripada RM700 juta kepada RM3.5 bilion dalam masa kurang seminggu.

“Golongan wanita antara yang paling terkesan dengan ketidakstabilan ini kerana peranan mereka sebagai pengurus kewangan isi rumah yang perlu berdepan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” ujarnya.

Selaras itu, Ahmd Zahid menggariskan beberapa langkah kritikal yang diambil kerajaan dan pihak berkepentingan.

“Antara langkah itu adalah seperti memperkukuh akses bantuan kewangan bagi usahawan wanita.

“Kita juga melihat bagaimana sektor pendidikan dan latihan yang sangat penting, jadi kerajaan akan terus memperkasa dan memperluaskan program upskilling melalui TVET dan platform digital.

“Langkah terakhir yang diambil adalah adalah menitikberatkan pendekatan keseluruhan negara dengan menyeru kolaborasi di antara sektor awam, swasta dan institusi kewangan bagi membina ekosistem yang inklusif,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut berharap agar Forum Voices of HER akan menjadi pemangkin kepada transformasi dan tidak sekadar ruang dialog.

​“Kita mungkin tidak dapat mengawal konflik di luar sempadan, tetapi kita boleh menentukan bagaimana kita bertindak balas.

“Kita memilih untuk memastikan tiada sesiapa terutamanya golongan wanita akan ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast