Nordiana Akmal Abas, 41, dipercayai keluar dari rumah keluarganya di Taman Sri Bayu, Alor Gajah sejak 5 April lalu dan masih belum pulang sehingga kini.

ALOR GAJAH – Seorang wanita berusia 41 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Sri Bayu di sini sejak Ahad lalu dan masih belum pulang sehingga kini.

Wanita terbabit, Nordiana Akmal Abas dipercayai keluar dari kediaman membawa bersama beg pakaian dan dokumen diri sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.

Bapanya, Abas Abd Aziz, 60, berkata, anak perempuannya itu mempunyai masalah kesihatan kerana mengalami tekanan perasaan dan masih dalam rawatan hospital.

“Anak sulung saya yang masih bujang itu keluar rumah pada 5 April dan tidak pulang sehingga kini membuatkan kami sekeluarga bimbang akan keselamatannya.

“Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup jiran, dia keluar dalam keadaan tergesa-gesa seperti menunggu seseorang mengambilnya sambil membawa bersama beg pakaian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya kali terakhir dilihat, Nordiana memakai tudung berwarna coklat, baju biru serta seluar biru gelap selain turut turut membawa bersama kad pengenalan, kad bank, buku Tabung Haji dan kad rawatan hospital.

“Nordiana turut membawa bersama serta satu fail mengandungi sijil-sijil pelajaran kerana berhasrat untuk bekerja namun saya tidak menggalakkannya kerana keadaan kesihatannya.

“Saya merayu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi saya di talian 017-7338311 atau 011-27072717 (Solihin) bagi membantu mengesan anak saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast