KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pegangan saham.
Hakim Rosli Ahmad turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan selain tarikh sebutan kes seterusnya pada 21 Mei depan.
Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan RM100,000 dengan alasan tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan beliau kerap ke luar negara.
Turut didakwa pendakwaan kegagalan tertuduh hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakam keterangan sebanyak dua kali.
Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berhujah, jumlah jaminan dan syarat tambahan itu tidak munasabah kerana pertuduhan berkenaan bersifat ‘teknikal’.
Menurutnya, anak guamnya telah memberikan kerjasama termasuk mengisytiharkan sejumlah aset kepada SPRM manakala pegangan saham yang tidak dinyatakan melibatkan syarikat tidak aktif dan dalam proses penutupan.
“Ini bukan aset aktif dan perkara itu telah dijelaskan kepada SPRM. Anak guam saya juga bukan risiko melarikan diri,” hujah beliau.
Beliau turut menegaskan, siasatan asal tertumpu kepada Allahyarham Daim manakala ahli keluarga termasuk tertuduh hanya berperanan sebagai saksi sebelum ini.
“Apabila individu utama telah meninggal dunia kini ahli keluarga pula didakwa satu persatu,” katanya.
Seorang lagi peguambela, Nizamuddin Hamid pula berhujah kegagalan hadir ke SPRM sebelum ini bukan disengajakan sebaliknya berpunca daripada tempoh notis yang singkat dan tidak munasabah.
Katanya, terdapat keadaan di mana pihak SPRM meminta kehadiran pada hari sama walaupun siasatan melibatkan pengisytiharan aset lama.
“Selepas beberapa penjadualan semula, anak guam saya hadir ke ibu pejabat SPRM seperti diarahkan,” ujarnya.
Pihak pembelaan turut memaklumkan akan memfailkan permohonan untuk mencabar kesahan pertuduhan tersebut termasuk membangkitkan isu perlembagaan di peringkat mahkamah lebih tinggi.
Dalam prosiding sama, pembelaan turut membantah cadangan penahanan pasport dengan merujuk kes terdahulu namun mahkamah tetap mengenakan syarat tersebut.
Mengikut pertuduhan, Asnida, 60, didakwa dengan sengaja mengemukakan pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya atau lebih tinggi pada 14 November 2023.
Beliau didakwa gagal mematuhi notis tersebut apabila tidak mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Anak Tun Daim, Asnida didakwa gagal isytihar pegangan saham lima syarikat
















