KUALA LUMPUR – Wacana Ilmiah Perdana anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini dicemari dengan tindakan tiga lelaki yang mengganggu Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki ketika menyampaikan ucaptamanya.
Kesemua tiga individu itu dipercayai daripada badan bukan kerajaan (NGO) Mandiri membawa plakad tertulis ‘Azam Baki Simbol Reformati’ sambil berlegar-legar dan menunjukkannya kepada hadirin yang hadir pada majlis tersebut.

Bagaimanapun, salah seorang pegawai SPRM yang berada di lokasi segera menghalang tindakan yang menimbulkan kekecohan itu sambil mengiringi individu itu keluar dari Dewan Tun Dr Ismail, WTC meskipun berlaku pergelutan pada awalnya.
Seorang lagi lelaki pula melakukan tindakan sama di bahagian belakang menghadap hadirin yang hadir sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan menjejaskan perjalanan wacana ilmiah tersebut.
Sebelum lelaki kedua keluar dari dewan tersebut, dia sempat melaungkan ‘Hipokrasi Anwar Ibrahim’ sebelum dihalau dan dibawa keluar oleh polis bantuan.

Sementara itu, Azam yang menyaksikan ‘serangan’ tersebut bagaimanapun tidak menghentikan ucaptamanya sambil menyifatkan ia sebagai gangguan biasa. – MalaysiaGazette
















