Bateri yang dirampas PGA dalam operasi semalam di kilang kitar semula di Bukit Ibam, Rompin

ROMPIN – Sebuah kilang kitar semula di Bukit Ibam di sini diserbu dan komponen bateri yang telah dileraikan bernilai anggaran RM76,000 dirampas Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, turut disita mesin peleburan bernilai kira-kira RM300,000 yang ditemui dalam kawasan kilang terbabit.

“Dalam serbuan Op Hazard 3.0 itu, pihak PGA berjaya menemukan 76 beg jumbo berisi bahan dipercayai bateri yang telah dileraikan dan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM376,000 dengan setiap beg jumbo dianggarkan bernilai RM1,000 manakala mesin peleburan RM300,000,” katanya.

Dalam serbuan itu juga, pihaknya turut menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang mempunyai dokumen lengkap dan dipercayau bekerja sebagai penjaga kilang terbabit.

Menurut Ahmad Radzi, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahn.

Beliau berkata, siasatan kini giat dilakukan termasuk bagi mengesan pemilik premis kilang berkenaan untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, bateri terpakai berkenaan dibawa masuk daripada luar negara dan juga dari pasaran tempatan.

Jelasnya, setakat ini bateri yang ditemui itu telah dikumpulkan namun belum melalui proses peleburan menggunakan mesin peleburan.

Seramai 60 penguatkuasa terlibat dalam Op Hazard 3.0 itu melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA),Jabatan Alam Sekitar (JAS), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan.

Menerusi operasi tersbut, sebanyak tiga buah kilang telah diperiksa iaitu dua buah kilang di Kuantan dan sebuah kilang di Bukit Ibam, Rompin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast