KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi mengenal pasti langkah awal menghadapi kesan konflik Asia Barat terhadap rakyat, bekalan tenaga dan harga barang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan tersebut terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang.
“Kerajaan Negeri Selangor sedang mengambil langkah awal untuk menghadapi kesan krisis semasa terhadap kehidupan rakyat, bekalan tenaga dan harga barang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, fasa pertama mitigasi untuk rakyat akan diperkenalkan dalam tempoh dua minggu.
“Selangor akan terus bergerak pantas, tersusun dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran ini,” jelasnya.
Sebelum ini dilaporkan, seramai tiga pakar dilantik menyertai Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi mendepani kesan kepada rakyat akibat konflik Asia Barat.
Pasukan itu diketuai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai pengerusi selain Pengarah Institut Pembangunan Dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican. – MalaysiaGazette
















