KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, pelantikan anak perempuan sulung Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai pengarah bukan eksekutif dalam sebuah syarikat swasta berkaitan teknologi maklumat (IT), tiada kena dengan isu kronisme atau nepotisme.
Dzulkefly, 70, berkata, pelantikan Nurul Iman ke jawatan itu dibuat pada 30 April 2018, iaitu sebelum pilihan raya umum (PRU) berlangsung pada 9 Mei tahun sama dan juga sebelum beliau dilantik ke jawatan menteri pada Julai tahun berkenaan.
Sehubungan itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau tidak mempunyai pengaruh terhadap pelantikan anaknya dalam AIM Solution Group Berhad.
Ketika pelantikan dibuat, beliau masih seorang pemimpin politik pembangkang.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menyatakan demikian dalam pernyataan saksi ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu kronisme dan nepotisme.
Dzulkefly yang merupakan saksi pertama plaintif turut mendakwa, Najib selaku defendan memfitnahnya dengan menyatakan beliau mengunakan kedudukan untuk melantik anak perempuan sendiri dalam AIM Solutions.
“Ia bertujuan untuk menggambarkan saya sebagai individu tidak bermoral yang mengamalkan nepotisme dan kronisme. Ini merupakan niat jahat defendan untuk merosakkan reputasi saya. Jika beliau menyemak tarikh atau menghubungi saya, beliau akan sedar bahawa pelantikan itu dibuat sebelum PRU pada Mei 2018 yang mana ketika itu beliau (Najib) Perdana Menteri.
“Saya tidak mempunyai kuasa atau kawalan terhadap kerajaan yang ketika itu dipimpin defendan. Mana mungkin saya membantu anak perempuan saya mendapatkan jawatan tersebut?” soal Dzulkefly.
Ketika ditanya peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Dzulkefly berkata, anak perempuannya mempunyai dua pelantikan, satu dengan AIM Solutions yang berlaku sebelum beliau menjadi menteri dan satu lagi dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berlaku selepas beliau menjadi menteri.
Bagaimanapun, Dzulkefly menegaskan beliau tidak mengetahui kedua-dua pelantikan itu.
Dalam pernyataan saksinya, Menteri Kesihatan itu juga berkata, beliau hanya mengetahui pelantikan Nurul Iman selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya bahawa dia menerima pelantikan tersebut.
Menjawab soalan peguam Stanley Sinappen yang mewakilinya, plaintif berkata, beliau memang mahukan Nurul Iman kekal sebagai ahli akademik kerana potensinya ke arah bidang tersebut.
“Saya mengambil berat berhubung pertukaran dari bidang akademik ke dunia korporat. Dia mempunyai potensi sebagai ahli akademik namun saya gembira dengan pilihannya,” ujar beliau.
Dalam pernyataan saksinya, plaintif menyatakan, Najib memuat naik hantaran tersebut serta tangkap layar sebuah artikel yang disiarkan Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 yang menyiarkan gambar beliau dan merujuk kepadanya.
Ujarnya, hantaran dalam laman sosial Facebook berkaitan isu nepotisme dan kronisme disunting sebanyak enam kali yang merujuk bahawa plaintif menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Menteri Kesihatan untuk memastikan anak perempuannya memperoleh jawatan.
Katanya, hantaran bertarikh 24 Ogos 2020 memperoleh 15,000 reaksi, 594 komen dan dikongsi sebanyak 961 kali manakala laman Facebook itu dimiliki dan ditadbir oleh Najib.
“Hantaran itu bertujuan merosakkan reputasi saya dan keluarga dan menyebabkan rasa malu yang serius kerana defendan mempunyai pengaruh yang luas terhadap rakyat Malaysia dengan sejumlah 4.5 juta pengikut dalam Facebook.
“Defendan telah mencalarkan reputasi saya secara peribadi dan selaku individu yang dikenali umum. Pencapaian anak perempuan saya tiada kena mengena dengan struktur organisasi berkenaan melainkan berdasarkan hasil kerja dan kemampuannya,” ujar beliau.
Pada Januari 2022, Dzulkefly memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Najib memuat naik hantaran berbaur fitnah di Facebook pada 24 Ogos 2020 berhubung isu kronisme bersama-sama lampiran tangkap layar artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar plaintif.
Plaintif mendakwa kenyataan itu antara lain membawa maksud bahawa beliau mengamalkan kronisme dengan menawarkan jawatan atau pelantikan kepada ahli keluarga tanpa melalui penilaian yang objektif dan keupayaan bagi jawatan tertentu dalam kerajaan atau syarikat swasta.
Plaintif mendakwa Najib selaku defendan telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat menyerang peribadi beliau, merendah serta memalukannya selain bermotifkan politik bagi memfitnah dan merosakkan reputasinya.
Najib dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Mac 2022 pula mendakwa hantaran mengenai isu kronisme itu tidak ada kena-mengena dengan Dzulkefly, sebaliknya merujuk kepada gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib bersambung esok. – MalaysiaGazette
















