KUALA LUMPUR – Golongan muda diingatkan tidak menganggap rasuah sebagai sesuatu yang kecil atau perkara biasa meskipun salah laku itu seolah-olah membarah dan menjadi budaya dalam kalangan penguasa di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, rasuah besar sebenarnya bermula daripada kompromi kecil khususnya bermula daripada generasi muda.
“Saya takut mengatakan bahawa di zaman sekarang ini satu budaya, terutamanya yang berkuasa, tak kira pegawai kerajaan; ahli politik atau sesiapa sahaja.
“Hakikatnya rasuah bermula apabila kita memilih untuk tutup mata, kita menganggap perkara kecil tidak memberi kesan atau kita berkompromi dengan prinsip demi keselesaan.
“Integriti bukan sesuatu keputusan besar yang dibuat sekali dalam hidup. Ia bermula dengan keputusan kecil seharian, kejujuran dalam segala tindakan, ketelusan dalam segala urusan dan keberanian untuk berkata tidak,” katanya berucap pada Wacana Ilmiah Perdana anjuran SPRM-Asia e University bersama Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bentong yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Young Syefura Othman serta Presiden dan Pengasas Asia e University, Professor Datuk Dr Ansary Ahmed.
Azam berkata, daripada keputusan-keputusan kecil itu yang akhirnya akan terbentuk sistem, tata kelola baik, kepimpinan beretika dan kejayaan masa depan negara.
“Rasuah tidak akan dapat dihapuskan hanya dengan undang-undang. Ia hanya dapat dibanteras apabila mempunyai kepimpinan yang tegas dan tidak berkompromi.
“Jenayah ini boleh dihapuskan jika penguatkuasaan konsisten, tanpa berbelah bahagi, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta, serta kesedaran seluruh masyarakat untuk bersama-sama menolak rasuah dan memupuk integriti,” katanya.
Menurut Azam, asas pembentukan masyarakat anti rasuah bermula dari unit paling kecil dalam masyarakat iaitu keluarga, seperti mana yang dilakukan di Denmark dan Jepun.
“Daripada teladan ibu bapa, disusuli dengan pendidikan di bangku sekolah dan diperkukuh dalam institusi serta sistem negara.
“Daripada situlah kita akan menyaksikan satu anjakan paradigma, di mana masyarakat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pemantauan dan penguatkuasaan, tetapi memiliki keupayaan untuk mengawal diri berasaskan nilai dan prinsip.
Katanya lagi, integriti bukan ditentukan oleh apa dikatakan, tetapi berdasarkan kepada apa dilakukan, terutamanya apabila tiada siapa yang melihat.
“Apabila nilai ini benar-benar sebati dalam diri setiap individu, kita bukan sahaja akan membanteras rasuah, tetapi membina sebuah negara yang berasaskan integriti, keadilan dan nilai maruah bangsa.
“Sebab rasuah tidak akan berakhir dengan ketakutan terhadap hukuman, tetapi dengan keberanian untuk memilih integriti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















