Azizee Ismail.

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan tiga individu warga Myanmar termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki senegara yang dipercayai ditikam di tepi jalan Lorong IKS Juru 5, Simpang Ampat di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam.

“Tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 13 April bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil bedah siasat ke atas mangsa berusia 53 tahun yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya semalam mendapati punca kematian adalah akibat luka tikaman di jantung.

MalaysiaGazette difahamkan, dua suspek lelaki yang ditahan merupakan kenalan kepada suspek utama yang masih diburu polis, manakala wanita terbabit dipercayai kekasihnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki Myanmar maut di tangan rakan sendiri

Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja kilang warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam oleh rakan senegara yang dikenalinya dalam kejadian di lokasi sama pada 5 April lalu.

Difahamkan, suspek memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan sebelum lelaki berkenaan menyalurkan maklumat kepada pihak polis kira-kira jam 10.50 malam.

Hasil siasatan awal polis bersama pasukan forensik di lokasi kejadian menemukan mangsa dalam keadaan meniarap di tepi jalan dengan kesan tikaman pada bahagian rusuk.

Siasatan lanjut turut membawa kepada penemuan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu tidak jauh dari lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast