Donald Trump

TEHRAN – “Seluruh tamadun akan hancur dan tidak akan boleh dipulihkan,” Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Iran sekiranya negara itu tidak mematuhi tarikh akhir untuk membuka Selat Hormuz, tengah malam ini.

Dalam masa sama, Tehran turut melaporkan serangan Amerika Syarikat-Israel terhadap infrastukturnya sudah pun bermula.

Bercakap di Budapest, Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, berkata negara itu mempunyai “peralatan yang belum digunakan setakat ini” terhadap Iran, tanpa memperincikan lanjut.

Bagaimanapun dalam hantaran terbaharunya di platfom X, White House menafikan kenyataan Vance mengenai operasi ketenteraan di Iran melibatkan serangan nuklear terhadap republik Islam itu.

“Secara literal, tiada apa yang @VP katakan di sini ‘membayangkan’ perkara itu, kamu semua benar-benar bodoh,” kata White House.

Hantaran tersebut dibuat sebagai respons kepada satu hantaran daripada akaun yang dikaitkan dengan bekas naib presiden Kamala Harris, yang mendakwa Vance membayangkan bahawa Trump “mungkin menggunakan senjata nuklear.”

Dalam pada itu, Pengawal Revolusi Iran memberi amaran mereka akan menyekat bekalan minyak dan gas kepada Amerika Syarikat serta sekutunya jika Washington melanggar “garis merah” Tehran.

Kenyataan itu dibuat ketika Iran melaporkan Amerika Syarikat dan Israel telah memulakan serangan ke atas infrastruktur utama, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan serangan terhadap landasan kereta api dan jambatan yang didakwa digunakan oleh Pengawal Revolusi.

Trump sebelum ini berikrar untuk melaksanakan “pemusnahan menyeluruh” terhadap infrastruktur kritikal Iran, khususnya jambatan dan loji janakuasa, jika tiada perjanjian dicapai.

Namun beberapa jam sebelum tarikh akhir, tentera Israel memaklumkan mereka telah menyelesaikan gelombang besar serangan yang menyasarkan “tapak infrastruktur” di seluruh Iran. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast