JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan beberapa penyelesaian jangka panjang dalam menangani krisis bekalan air di Felda Lok Heng, Felda Waha, Felda Bukit Waha dan Felda Bukit Eastern, Kota Tinggi.
Ahli Majlis Pimpinan Negeri Pejuang Johor, Mohd Hisyam Che Husin berkata, antaranya pembinaan kolam takungan atau Off-River Storage (ORS) bagi menyimpan air ketika musim hujan.
Jelas beliau, kegunaannya apabila musim kemarau dilepaskan selain pelaksanaan inter-connection dengan loji rawatan air lain sebagai bekalan sokongan.
“Begitu juga pembangunan sumber air bawah tanah melalui pembinaan telaga tiub berdasarkan kajian akuifer serta diversifikasi sumber air melalui sistem penuaian air hujan di kawasan Felda bagi kegunaan bukan minuman.
“Cadangan ini perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan negeri yang bukan sahaja praktikal, malah mampu meningkatkan daya tahan bekalan air dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Pejuang Johor menuntut agar kerajaan negeri segera membuat keputusan dan melaksanakan salah satu daripada penyelesaian jangka panjang yang telah dikenal pasti tanpa sebarang kelewatan.
Beliau berkata, pembangunan negeri juga perlu diselaraskan dengan prinsip keadilan sosial kerana pembangunan tanpa jaminan bekalan air bersih yang stabil adalah pincang dan tidak menyeluruh.
Menurut Mohd Hisyam, krisis bekalan air bersih di Felda terbabit merupakan isu berulang yang kini semakin kritikal dan tidak boleh lagi dipandang ringan.
Katanya, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ulu Sedili Kecil yang menjadi sumber utama bekalan air di kawasan iru bergantung kepada sungai kecil yang sering kering setiap kali musim kemarau, sekali gus menyebabkan ribuan keluarga berdepan gangguan bekalan air bersih.
Pejuang Johor mengambil maklum kerajaan negeri bersama-sama Ranhill SAJ sudah melaksanakan beberapa langkah kecemasan bersifat sementara.
Antaranya kata beliau, agihan air botol, penghantaran lori tangki ke kawasan terjejas, penempatan tangki statik di lokasi strategik serta pelaksanaan sistem inline injection di beberapa kawasan di Felda Lok Heng dan Felda Waha.
Walau bagaimanapun katanya, langkah-langkah itu hanyalah bersifat fire-fighting dan tidak menyelesaikan punca sebenar masalah yang terus berulang saban tahun.
“Adalah tidak adil sekiranya dalam arus pembangunan pesat negeri, masih terdapat komuniti Felda yang terus berdepan masalah asas seperti ketiadaan bekalan air bersih setiap kali musim kemarau.
“Akses kepada air bersih seharusnya menjadi hak asas rakyat dan tidak boleh terus bergantung kepada penyelesaian sementara seperti lori tangki dan bekalan air botol,” tambahnya.
Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, keadaan Sungai Ulu Sedili Kecil yang kering akibat kemarau sudah melebihi dua bulan.
Katanya, Sungai Ulu Sedili Kecil merupakan sumber bekalan air mentah ke LRA Lok Heng dan selepas air dirawat, bekalan air diagihkan ke Felda Lok Heng, Felda Waha, Felda Bukit Waha dan Felda Bukit Easter dengan jumlah 4,042 akaun pengguna.- MalaysiaGazette
















