KUANTAN – Pengiktirafan bandar Lipis dan bandar Raub sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia tahun 2026 merupakan berita membanggakan buat negeri Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membuktikan kesejahteraan rakyat bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal.
Malah katanya, ia dinilai melalui keharmonian masyarakat, kualiti hidup, persekitaran yang selesa serta semangat kebersamaan yang kukuh.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menjadikan Pahang negeri yang terus maju, aman dan membahagiakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wan Rosdy ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM( 2025 Maahad Tahfiz negeri Pahang (MTNP) dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di sini, hari ini, berkata, kerajaan negeri akan mempertingkat kemajuan fizikal dan ekonomi negeri itu.
“Pengiktirafan ini juga membanggakan rakyat Pahang kerana setiap kali pengumuman membabitkan penghargaan, negeri Pahang tidak tercicir,” katanya.
Semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan senarai 10 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2026, melibatkan beberapa negeri merentasi Semenanjung dan Sabah.
Menurut kenyataan KPKT, pengiktirafan itu diberikan kepada Dabong (Kelantan), Kluang (Johor), Kuala Terengganu (Terengganu), Bandar Lipis (Pahang) serta Marang (Terengganu). – MalaysiaGazette
















