KEPALA BATAS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam terusan Sungai Dua di Jalan Bertam Perdana 2 dekat sini, petang tadi.
Mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, sekitar jam 5.47 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.03 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam dikejarkan ke lokasi dengan bantuan BBP Kepala Batas.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai sedang menjalankan aktiviti riadah sebelum terjatuh ke dalam terusan berkenaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian permukaan di kawasan mangsa dipercayai terjatuh.
“Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas,” katanya. – MalaysiaGazette
















