Tinjauan CAP mendapati sistem saliran di kawasan MADA kering akibat kemarau. - Gambar ihsan CAP

GEORGE TOWN – Kemarau berpanjangan yang melanda kawasan jelapang padi utama negara kini bukan sahaja menjejaskan pendapatan petani, malah berisiko mengganggu bekalan makanan negara jika tidak ditangani segera.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, situasi di Kedah, Perlis dan Perak menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan merangka pelan awal serta tindakan lebih proaktif bagi menghadapi kemarau pada masa depan.

Beliau berkata, puluhan ribu hektar sawah terjejas dengan kemerosotan hasil melebihi 60 peratus, manakala di Perlis sahaja kerugian dianggarkan mencecah RM2.7 juta.

“Tinjauan CAP di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendapati tanah sawah kering kontang dan pokok padi mati kerana petani sukar mendapatkan bekalan air.

“Keadaan itu diburukkan lagi apabila paras air di sungai serta empangan utama seperti Muda, Pedu dan Ahning berada pada tahap rendah, sekali gus menjejaskan sistem pengairan sedia ada.

“Bukan sahaja saliran MADA terkesan, malah sumber air utama juga tidak mencukupi untuk menyokong keperluan tanaman,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Mohideen menggesa kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan mengambil langkah mengekalkan kawasan tadahan air, membina sistem saliran lebih berkesan dan menyediakan pam air mencukupi.

Mengulas cadangan penggunaan kaedah tabur terus kering bagi musim tanaman padi, beliau berkata, kaedah itu perlu dikaji semula kerana berisiko menimbulkan pelbagai masalah di peringkat ladang.

“Ia boleh menyebabkan ancaman rumput, padi angin, serangga perosak, tikus, burung dan cengkerik, selain risiko benih mati atau tidak tumbuh.

“Malah, kaedah tersebut masih memerlukan air untuk percambahan sekali gus menimbulkan persoalan keberkesanannya dalam keadaan kemarau.

“Kita juga mencadangkan supaya musim menabur benih tidak dijalankan ketika kemarau bagi mengelakkan kerugian kepada petani,” katanya.

Tambah beliau, pengedaran benih dan baja perlu diselaraskan mengikut jadual agar proses penanaman dapat dilakukan secara serentak dan lebih mudah diuruskan oleh agensi berkaitan.

“Penggunaan semula benih padi tradisi serta kaedah penanaman tradisional juga wajar dipertimbangkan kerana berpotensi lebih tahan terhadap perubahan iklim serta ancaman penyakit.

“Jika tidak ditangani dengan baik, kemarau ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan petani, malah boleh memberi kesan kepada bekalan beras dan makanan rakyat.

“Selain itu, kita juga menggesa kerajaan menyalurkan bantuan kepada petani terjejas bagi membantu mereka menampung kerugian dan meneruskan kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast