LOGO PENGAKAP
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) nafi mempunyai kaitan dengan penahanan seorang penjawat awam didakwa menerima rasuah bagi urusan penganugerahan pingat sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada tahun 2024.

PPM dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius cubaan untuk mengaitkan organisasi iitu dengn kegiatan yang menyalahi undang-undng, melibatkan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Perlis.

“PPM langsung tidak mempunyai kaitan dalam kes yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  berkait penahanan penjawat awam bagi urusan penganugerahan pingat.

“PPM juga tidak pernah mengiktiraf, meluluskan atau terlibat dalam sebarang penganugerahan tersebut, dan ia tidak tersenarai dalam mana-mana rekod rasmi pingat PPM.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa istiadat penganugerahan bintang dan pingat yang diadakan di Perlis pada 6 Mac 2024 adalah tanpa pengetahuan, kebenaran atau kelulusan rasmi pihak kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah PPM, tiada sebarang senarai penerima pernah diluluskan, dan organisasi itu sama sekali tidak pernah mengeluarkan bintang atau darjah yang menggunakan gelaran ‘Dato’ Setia Pengakap’.

“Selain itu, PPM tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepada mana-mana pihak, termasuk mana-mana entiti pada peringkat negeri, untuk menganugerahkan sebarang bintang atau pingat bagi pihak organisasi.

 “Sebarang penggunaan nama, lambang atau kaitan dengan PPM bagi tujuan penganugerahan tanpa kelulusan rasmi adalah satu penyalahgunaan yang serius dan boleh menjejaskan integriti organisasi,” tegasnya.

Dalam pada itu, PPM memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat dalam penganugerahan tidak sah berkenaan.

“Tindakan itu selaras dengan Seksyen 13 Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia (Pemerbadanan) 1968, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 akta yang sama.

 “PPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas, serta akan memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan,” jelasnya.

Mengulas lanjut PPM berkata, pihaknya kekal komited untuk mempertahankan integriti, kredibiliti dan nama baik organisasi serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau penyalahgunaan nama Pengakap Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang penjawat awam di Perlis direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM200,000 berkaitan urusan mendapatkan pelbagai darjah kebesaran, pingat dan bintang sebuah pertubuhan.

Sumber melaporkan, perintah reman sehingga 13 April terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Nurul Natasha Rizal selepas permohonan dibuat SPRM Perlis.

Tambah sumber, lelaki itu ditahan jam 2.40 petang semalam selepas memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

Lelaki terbabit disyaki menerima wang berkenaan pada 2024 ketika menyandang jawatan ketua pesuruhjaya pertubuhan berkenaan di Perlis sebagai balasan untuk beberapa individu mendapatkan bintang dan pingat pertubuhan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast