PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan langkah luar biasa dengan mempercepat kelulusan peranti perubatan melalui mekanisme Special Access Pathway bagi memastikan operasi hospital tidak lumpuh ketika dunia berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laluan khas itu membolehkan peranti yang belum berdaftar diluluskan secara interim supaya keperluan kritikal hospital terus dipenuhi tanpa menunggu proses biasa yang lebih panjang.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan antara tindakan pantas kerajaan bagi memastikan sistem kesihatan kekal berfungsi ketika tekanan bekalan global semakin memuncak.
“Mekanisme laluan khas ini membolehkan peranti yang belum berdaftar diberikan kaedah interim supaya proses pendaftaran dapat dipercepatkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Hari Pendengaran Sedunia, di sini.
Dzulkefly turut menjelaskan, kelulusan dipercepatkan itu merangkumi pelbagai peranti penting termasuk bahan guna habis seperti kateter (tiub kecil), picagari dan sarung tangan yang menjadi nadi operasi fasiliti kesihatan setiap hari.
Katanya, langkah itu bersifat sementara dan hanya digunakan ketika negara berdepan situasi kekurangan bekalan atau krisis rantaian bekalan perubatan global.
“Kita akan mempercepatkan proses bagi memastikan pembekalan peranti dapat memenuhi keperluan semasa, namun aspek kualiti dan keselamatan tetap menjadi keutamaan,” tegasnya.
Dzulkefly menegaskan, pendekatan tersebut mencerminkan keperluan sistem kesihatan negara menjadi lebih tangkas dan fleksibel dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan antarabangsa.
Tambah beliau, kerajaan tidak mahu sebarang gangguan bekalan menjejaskan rawatan pesakit di hospital awam mahupun swasta.
Jelasnya, KKM akan terus menilai keberkesanan mekanisme itu dari semasa ke semasa bagi memastikan keseimbangan antara keperluan segera dan pematuhan standard keselamatan sentiasa terpelihara.
Terdahulu, Dzulkefly berkata, bekalan ubat di negara ini masih stabil dan mampu bertahan sekurang-kurangnya hingga hujung Jun ini.
Namun, katanya, terdapat kes tertentu yang menyaksikan kenaikan harga peranti perubatan sehingga mencecah antara 50 hingga 100 peratus, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara. – MalaysiaGazette
















