NIBONG TEBAL – Seramai 11 warga Indonesia termasuk pasangan kekasih direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung lima kes samun bersenjata di rumah kongsi dalam kawasan tapak pembinaan sekitar Pulau Pinang.
Perintah reman terhadap sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad bermula hari ini hingga 16 April depan, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek Geng Rantau itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Jawi dengan menaiki trak polis serta berpakaian lokap berwarna jingga kira-kira pukul 8.50 pagi.
Penahanan mereka dibuat susulan kejadian samun pukul 1.30 pagi semalam apabila enam lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau serta parang mengugut pekerja di sebuah tapak pembinaan sebelum mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan pengikat kabel.
Dalam kejadian itu, suspek melarikan pelbagai barangan berharga termasuk 13 telefon bimbit, tiga rantai dan sepasang subang emas dianggarkan bernilai RM35,000 selain wang tunai berjumlah RM7,190.
Difahamkan, kesemua suspek ditahan dalam beberapa serbuan di tiga lokasi berasingan iaitu masing-masing tiga individu di Sungai Bakap dan Simpang Ampat, manakala lima lagi di Ipoh, Perak antara pukul 5 petang semalam hingga 1.30 pagi tadi.
Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan samun sejak awal tahun ini membabitkan beberapa daerah di bahagian tanah besar. – MalaysiaGazette
















