KUALA LUMPUR – Statistik kemalangan maut dalam Op Selamat 25 dan 26 menunjukkan kebimbangan dengan peningkatan hampir 17 peratus daripada 77 kepada 90 kes di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, ia adalah jumlah kemalangan yang direkodkan menerusi dua operasi iaitu sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri 2026.
“Pada masa sama, statistik juga mencatatkan peningkatan hampir satu peratus jumlah kemalangan iaitu 9,934 kes berbanding 9,859 kes bagi operasi sama yang dijalankan sebelum ini,” kata katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Op Selamat 25 dan 26 Tahun 2026 di sini malam ini.
Sementara itu, sejumlah 144,726 saman telah dikeluarkan di seluruh negara. Secara perbandingan angka berkenaan catat peningkatan 37,361 saman (34.8 peratus) berbanding 107,365 saman semasa Op Selamat 24.

Bagi kes jenayah yang direkodkan sepanjang operasi itu pula, Mohd Khalid berkata, ia menunjukkan penurunan iaitu 747 kes berbanding 858 kes pada 2025, hasil peningkatan rondaan serta pendekatan kepolisan komuniti.
Katanya, ia turut disokong menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) yang kini merekodkan pendaftaran lebih 1.7 juta pengguna.
“Sebanyak 61,122 rumah dilaksanakan rondaan secara berkala oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berperanan sebagai first responder dalam sistem kawalan.
“Gabungan penggunaan VSP dan rondaan MPV serta URB telah berjaya mengurangkan jenayah, memperkukuhkan keselamatan komuniti serta mengeratkan kerjasama antara masyarakat dan polis,” jelasnya.

Tambah Mohd Khalid, kejayaan Ops Selamat didorong menerusi perancangan rapi antara Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
Selain itu, jelasnya, ia turut disokong penggunaan dron oleh Unit Udara Polis serta inisiatif pengurusan trafik seperti Op Lancar di kawasan hot spot dan black spot.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik serta memuji komitmen dan dedikasi semua anggota polis yang terlibat dalam menjayakan Ops Selamat 25 dan 26. – MalaysiaGazette
















