Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan terbaharu rejim Zionis Israel yang meluluskan pembinaan 34 penempatan haram baharu di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan bahawa peluasan penempatan secara berterusan merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, terutamanya Konvensyen Geneva Keempat dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 (2016).

Kementerian itu berkata tindakan tersebut juga merupakan cubaan untuk mengubah komposisi demografi Wilayah Palestin.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak tegas bagi memastikan rejim Israel mematuhi undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi, mengulangi seruannya bagi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempada pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast