KUALA LUMPUR – Cadangan menaikkan gaji dan elaun jururawat bagi menangani penghijrahan tenaga kerja disambut baik, namun pelaksanaannya perlu disegerakan dan bukan sekadar perancangan.
Malah, kenyataan itu tidak sepatutnya bersifat populis atau retorik kerana hanya sekadar akan ‘dipertimbangkan’.
Itu antara luahan Senator Dr RA Lingeshwaran yang juga mantan Pengarah Hospital Sungai Bakap, yang turut menegaskan langkah itu merupakan pengiktirafan penting terhadap peranan jururawat dalam sistem kesihatan negara.
Menurut Lingeshwaran, inisiatif tersebut mampu meningkatkan motivasi petugas, menarik semula jururawat yang bekerja di luar negara serta mengembalikan minat generasi muda terhadap profesion kejururawatan.
“Ia juga membantu mengurangkan keletihan melampau (burnout) dalam kalangan jururawat serta memperkukuh sistem kesihatan negara,” katanya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbang kenaikan upah atau elaun, termasuk elaun ‘post–basic’, selain menambah pengambilan jururawat bagi mengelak penghijrahan ke luar negara.
Media sebelum ini melaporkan kajian oleh MBSB Research mendapati kadar kekosongan jawatan jururawat di negara ini berada pada paras kritikal sekitar 15 hingga 18 peratus tahun ini.
Kekurangan tenaga kerja itu turut mencetuskan ‘perang gaji’ dalam sektor kesihatan swasta, apabila hospital terpaksa menawarkan gaji lebih tinggi serta insentif tambahan termasuk bonus kesetiaan bagi mengekalkan jururawat daripada berhijrah ke luar negara seperti Singapura dan Asia Barat. – MalaysiaGazette














