Foto: AFP

ISTANBUL – Ketua Organisasi Perubatan Forensik Iran berkata seramai 3,375 individu yang terkorban dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel telah dikenal pasti menggunakan kaedah saintifik dan khusus, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar awam Iran IRIB pada Ahad.

Abbas Masjedi Arani berkata jumlah korban dari 28 Feb hingga 7 April itu melibatkan 2,875 lelaki dan 496 wanita, tanpa butiran mengenai baki empat lagi individu.

Beliau berkata terdapat juga warga asing dalam kalangan mangsa yang terkorban, termasuk dari Afghanistan, Syria, Pakistan, China, Iraq dan Lubnan, namun tidak memberikan angka tepat.

Menurut beliau, proses pengecaman dijalankan melalui prosedur forensik termaju oleh organisasi berkaitan kerajaan itu.

AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas, mengorbankan puluhan pegawai tertinggi tentera, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, sebelum gencatan senjata selama dua minggu hasil perantaraan Pakistan awal minggu ini.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, selain menyekat pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas.

AS dan Iran turut mengadakan rundingan di ibu negara Pakistan, Islamabad pada Sabtu, namun rundingan itu berakhir tanpa mencapai sebarang kata sepakat. — BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast