File picture

KUAALA LUMPUR – Sebuah stesen minyak di Jalan Segambut, di sini yang tular baru-baru berhubung kejadian meter pam terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel telah habis didapati tidak dilengkapi sistem pengesanan isipadu automatik (automatic cut-off).

Sebaliknya, ia hanya bergantung kepada pemeriksaan manual.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, penemuan itu adalah hasil siasatan yang dijalankan pasukan penguatkuasa KPDN Kuala Lumpur di stesen minyak terbabit.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian yang dirakam dalam video tular tersebut berpunca daripada kehabisan stok diesel semasa proses pengisian sedang berlangsung.

Bagaimanapun meter pam didapati terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel telah habis.

“Semakan turut mengesahkan bahawa jumlah sebenar diesel yang diisi adalah sebanyak RM232.07, dan pihak stesen telah mengambil tindakan segera dengan memulangkan semula bayaran penuh kepada pelanggan yang terlibat pada 9 April 2026.

“Pihak pengadu telah bersetuju dengan penyelesaian tersebut,” kata KPDN dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan teknikal yang dijalankan oleh KPDN mendapati semua pam minyak di premis berkenaan masih berada dalam tempoh tentusah yang sah, dan ujian menggunakan Sukat Isipadu Cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan sukatan berada dalam had selisih yang dibenarkan.

Selain itu, semakan ke atas lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mendapati lesen CSA dan PDA stesen berkenaan adalah sah dan masih berkuat kuasa.

Walau bagaimanapun katanya, pihak stesen telah diberikan amaran keras agar memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan perundangan serta meningkatkan pemantauan operasi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

“KPDN ingin menegaskan bahawa kejadian ini adalah bersifat terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api yang kekal stabil dan terkawal,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast