Seorang bayi perempuan ditemukan di tempat parkir kenderaan di hadapan sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru, malam kelmarin.

JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemukan di tempat parkir kenderaan di hadapan sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, seorang jemaah menemukan bayi itu pada pukul 7.33 petang.

Menurutnya, bayi berkenaan yang masih bertali pusat ditinggalkan dalam keadaan dibalut tubuhnya dengan tuala.

“Bayi tersebut kemudian segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat untuk meninggalkan bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radin Ramlan berkata, kes itu jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut beliau, pihaknya sedang giat mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyazwani Kamaruddin 017-7849034.

Tambahnya, orang ramai juga boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5561222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu tular video memaparkan penemuan bayi tersebut yang diletakkan di atas tempat parkir kenderaan sekali gus menimbulkan simpati dan kemarahan netizen. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast