Screenshot

KUALA LUMPUR -Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau mematahkan cubaan menyeludup keluar 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris telah menerima maklumat risikan berkenaan pergerakan mencurigakan sebuah bot di perairan  tersebut.

Susulan itu, bot peronda diarahkan ke lokasi yang telah dikenal pasti bagi memintas bot terbabit yang dikesan bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 6.20 pagi.

“Pemeriksaan ke atas bot kargo yang ditahan di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Batu 3 tersebut mendapati terdapat seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 36 tahun membawa muatan 30 tong gas LPG berisi tanpa sebarang permit kebenaran dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Juragan tersebut juga tidak mempunyai daftar nama di dalam lesen bot tersebut,”katanya.

Katanya, ketika pemeriksaan Juragan bersama bot serta kesemua muatan tersebut ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Tambahnya, semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM30,000.

Sementara itu Ariffin berkata, pihaknya akan terus memperketat pemantauan terhadap ketirisan barangan bersubsidi terutama di lokasi ‘hotspot’ yang dikenal pasti, susulan taktik licik sindiket yang memilih waktu sunyi bagi mengelak dikesan penguat kuasa.

Beliau turut menegaskan, penguatkuasaaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast