SHAH ALAM – Dua pemilik syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengemukakan Letter of Award (LOA) palsu kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Berdasarkan pertuduhan, Ali Mohamad, 63, selaku pemilik syarikat TNS Trading Sdn Bhd pada 23 Februari 2024 menggunakan LOA palsu bertarikh 24 Oktober 2022 daripada syarikat Mr Brand Sdn. Bhd. kepada syarikat TNS Trading Sdn. Bhd untuk dikemukakan kepada pegawai Imigresen di pejabat JIM Selangor, Shah Alam.
Manakala, Mohamad Rohaizad Rafire Mohamad,30 pemilik ACME World Software Giant Sdn Bhd yang berdepan dua pertuduhan membuat pengakuan tersebut kerana mengemukakan dokumen palsu di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) cawangan Kajang.
Perbuatan itu dilakukannya pada 2 dan 24 November.
Kedua-dua melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 kepada Ali sementara Mohamad Rohaizad didenda RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhannya.
Terdahulu, Ali dan Mohamad Rohaizad diwakili peguam yang sama iaitu Low Carmen.
Manakala Timbalan Pendakwa Raya kes itu adalah Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi. -MalaysiaGazette
















