Mayat San Markan (atas) ditemui pada pukul 1.05 tengah hari, manakala Chandra (gambar bawah) pada pukul 3.26 petang hari ini.

GEORGETOWN – Peguam veteran antara dua individu ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran di pejabat guaman di Lebuh King di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Datuk G. San Markan, 88, manakala seorang lagi ialah kerani firma berkenaan, Chandra Binwani Jiwatram, 60.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, kedua-dua mangsa ditemukan di tingkat atas bangunan dua tingkat separa kayu itu dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Berdasarkan laporan terdapat tiga mangsa ketika kejadian, namun seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri, manakala dua mangsa lagi terperangkap.

“Mangsa pertama (San Markan) ditemukan pada pukul 1.05 tengah hari berhampiran tingkap dalam keadaan duduk di atas kerusi.

“Mangsa kedua pula ditemukan pada pukul 3.26 petang di bawah timbunan fail di tepi dinding,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohamad Shoki.

Menurutnya, keadaan premis yang menyimpan banyak fail kertas dipercayai menyumbang kepada penghasilan asap tebal sehingga menyukarkan mangsa menyelamatkan diri.

“Kami percaya punca kematian adalah akibat terhidu asap, namun pengesahan lanjut akan dibuat pihak forensik dan hospital,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua mangsa terperangkap dalam kebakaran di pejabat guaman

Mohamad Shoki berkata, struktur bangunan lama yang diperbuat daripada campuran simen dan kayu turut menyebabkan sebahagian lantai runtuh dalam kebakaran itu, sekali gus menyukarkan operasi mencari dan menyelamat oleh pihak bomba.

“Tahap kemusnahan premis itu dianggarkan sekitar 70 peratus dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Difahamkan San Markan berada di pejabat berkenaan bagi menyelesaikan beberapa urusan dokumen guaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast