Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert.

JASIN – Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes kecurian makanan laut hidup di sebuah kedai makan di Pantai Siring, Merlimau, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, ia selepas Balai Polis Merlimau menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.23 petang pada 10 April lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku di sebuah kedai dikenali Bakau-Bakau Siring, Jalan Jeti Anjung Batu, Pantai Siring, Merlimau.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 2.30 petang apabila pengadu, lelaki tempatan berusia 48 tahun, menyedari tirai bahagian simpanan makanan laut di premisnya dalam keadaan terbuka.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah makanan laut yang masih hidup telah hilang dari tempat simpanan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan suspek mengambil beberapa jenis hidupan laut.

“Ini termasuk mentarang, belangkas dan beliung yang disimpan di dalam bekas terbuka tanpa kunci. Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Siti Norhikmah Nordin di talian 017-357 2595 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, 06-529 2222.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast