Foto: IHSAN SPRM

KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis direman lima hari, disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan melepaskan empat pekerja rumah urut dipercayai menggunakan pas lawatan sosial bagi tujuan pekerjaan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an masing-masing ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam dan 5 pagi tadi di sekitar Kuala Lumpur dan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut semalam.

“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai berjumlah kira-kira RM7,000 pada pagi semalam, manakala baki sebanyak RM3,000 telah diserahkan pada malam hari yang sama, sebelum mereka ditahan oleh pihak SPRM,” katanya.

Menurutnya, permohonan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret M. S Arunjothy selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast