KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman membabitkan tuntutan AS$14.57 juta (kira-kira RM58 juta) oleh syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bermula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Prosiding hari pertama di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon menyaksikan Rosmah yang juga isteri kepada Datuk Seri Najib Razak tampil memberi keterangan sebagai defendan tunggal berhubung dakwaan kehilangan 43 daripada 44 barangan kemas bernilai jutaan ringgit yang dihantar kepadanya pada Februari 2018.
Dalam keterangannya, Rosmah menegaskan beliau telah mengambil langkah sewajarnya untuk menjaga barangan tersebut, namun kesemuanya tidak lagi berada dalam milikannya selepas disita pihak berkuasa.
“Saya sudah tidak memiliki barang kemas itu kerana semuanya telah dirampas oleh polis,” dakwanya dengan tegas.
Beliau turut mengakui pernah menerima barangan kemas bernilai tinggi tanpa dokumentasi lengkap, selain tidak dapat mengingati jumlah sebenar koleksi yang pernah dimilikinya.
“Kalau ditanya sama ada saya menerimanya tanpa dokumen, jawapannya ya,” katanya sambil menjelaskan beliau tidak berada di kediaman ketika serbuan dilakukan pada 2018.
Rosmah juga memberitahu mahkamah beliau tidak pernah memakai mana-mana daripada 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menurutnya, ketika itu beliau sibuk berkempen untuk Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, menyebabkan semua barangan tersebut disimpan dalam peti besi oleh pembantunya.
“Saya tidak berniat untuk menggunakan barang kemas itu. Saya hanya menyimpannya supaya tidak menyinggung perasaan Samer,” katanya.
Rosmah merujuk kepada Samer Hassib Halimeh, pengasas Global Royalty Trading SAL yang diperkenalkan kepadanya melalui kenalan keluarga diraja Brunei.
Sementara itu, saksi plaintif, Samer mendakwa sebanyak 44 barangan kemas telah dihantar kepada Rosmah pada 10 Februari 2018 sebagai urus niaga konsainan komersial.
Menurutnya, Rosmah telah menandatangani memorandum pengakuan penerimaan barangan tersebut pada 22 Mei 2018 yang mengesahkan penerimaan semua item berkenaan.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 44 barangan itu, hanya satu gelang berlian berjaya dikenal pasti dan dipulangkan kepada syarikat selepas serbuan polis di Pavilion Residences Kuala Lumpur, manakala baki 43 lagi masih belum dapat dikesan.
“Tiada bayaran dibuat dan barangan tersebut juga tidak dipulangkan. Sehingga kini, tiada penjelasan diberikan mengenai baki yang hilang,” ujarnya.
Dalam pernyataan pembukaan, peguam plaintif menegaskan kes itu bersifat langsung kerana beberapa fakta tidak dipertikaikan termasuk penerimaan barangan oleh defendan serta pengakuan bahawa ia telah disita pihak berkuasa.
Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, saksi bersetuju syarikat itu tidak dapat mengemukakan dokumen lengkap berkaitan urus niaga terdahulu sebelum 2018.
Global Royalty memfailkan saman tersebut pada 2023 bagi menuntut pemulangan 43 barangan kemas atau bayaran nilai keseluruhan berjumlah AS$14.57 juta.
Rosmah sebelum ini turut menamakan kerajaan Malaysia sebagai pihak ketiga dalam saman itu dengan alasan kehilangan barangan berkenaan mungkin berpunca daripada tindakan sitaan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette
















