Zulkifli Bujang (dua kiri) dan Mohd Hairi Mad Shah (dua kanan) melancarkan Tabung Tanjung Puteri Care di Opero Hotel, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Inisiatif baharu memperkukuh sokongan dan bantuan kepada anak-anak orang kurang upaya (OKU) di bandar raya ini dilancarkan menerusi penubuhan Tabung Tanjung Puteri Care.

Pelancaran inisiatif itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah dalam satu majlis di Opero Hotel di sini, semalam.

Tabung itu merupakan inisiatif Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tanjung Puteri bertujuan mengumpul dana daripada orang ramai dan syarikat korporat bagi membiayai pelbagai program pembangunan, pemulihan serta keperluan harian anak-anak OKU di daerah ini.

Tabung berkenaan menyasarkan penglibatan aktif masyarakat dan sektor korporat dalam usaha kebajikan berimpak tinggi, sekali gus menandakan komitmen berterusan kepimpinan setempat dalam memperkasa golongan rentan.

Pengerusi PDK Tanjung Puteri, Datuk Zulkifli Bujang berkata, penubuhan tabung itu adalah langkah strategik untuk memastikan kesinambungan sokongan kepada golongan berkeperluan khas, khususnya dalam aspek pendidikan, terapi dan kesejahteraan hidup.

“Tabung ini bukan sekadar platform kutipan dana, tetapi satu gerakan komuniti yang mengajak semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan membantu anak-anak OKU agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan bermaruah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri dalam ucapannya turut mengumumkan RM50,000 daripada Pejabat ADUN Larkin bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata, usaha seumpama itu wajar dijadikan contoh kerana mencerminkan peranan sebenar komuniti setempat dalam membela nasib golongan rentan.

“Inilah usaha yang perlu disokong semua pihak bagi membuktikan bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama dalam membantu golongan seperti ini agar mereka lebih selesa dan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin setempat dan sektor swasta amat penting dalam memastikan kebajikan anak-anak OKU terus terpelihara secara mampan.

Inisiatif Tabung Tanjung Puteri Care dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak program inklusif dan berimpak tinggi di daerah ini yang akan memperkukuh jaringan sokongan sosial untuk komuniti OKU di negeri ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast